Tuesday, 18 May 2010

TASBIH KIFARAH


1) Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW telah berkata: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau) melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”.

Huraian hadis:
1- Yang dimaksudkan dengan ‘banyak salah dan silap’ ialah percakapan yang bercampur dengan maksud yang tidak jelas. Maksud yang didapati dalam hadis ini ialah percakapan yang tidak memberi manfaat untuk akhirat.
2- Disyariatkan untuk membaca doa ini setiap kali selepas selesai sesuatu majlis kerana ia boleh menghapuskan segala dosa yang telah dilakukan dalamnya. Akan tetapi, para ulama mengkhususkannya pada dosa kecil sahaja berdasarkan dalil yang didapati dari hadis-hadis yang lain.
3- Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dengan doa ini sebagai pengajaran kepada umat baginda dan menambahkan pahala dan bukan kerana baginda telah melakukan suatu kesalahan dalam majlis.

Sunday, 9 May 2010

Sombong sifat yang membinasakan



Sombong berasal dari perkataan arab yang beerti mempunyai perasaan besar diri, iaitu berperasaan bahawa dia melebihi daripada orang laindalam segala hal,
Sifat sombong jelas terserlah dalam tiga bahagian: pakaian, perbuatan dan pertuturan. Punca sifat sombong ini bermula apabila seseorang itu menganggap orang lain lebih rendah daripadanya. Dia tidak akan mencintai orang lain sebagaimana dia mencintai dirinya. Dia tidak bersedia merendah diri. Dia juga tidak boleh menjauhi sifat dendam kesumat. Dia tidak boleh bercakap benar selalu. Dia juga tidak boleh menahan kemarahan, tidak boleh meninggalkan sifat hasad dengki. Dia tidak senang mendengar nasihat yang baik malah tidak mahu mendengar nasihat sama sekali.
Sifat ini sangat-sangat dicela oleh Allah. Sesungguhnya sifat ini tidak layak ada pada manusia, ia hanya layak wujud pada penciptanya. Sifat sombong sebenarnya sifat yang sempurna, sifat yang sesuai wujud pada Allah sahaja. Dialha satu-satunya yang sempurna sedangkan manusia lemah,hina dan dhaif disisi Allah. Jika manusia tetap sombong jelaslah ia mahu menandingi sifat Allah SWT.
Sombong terbahagi kepada dua iaitu bidang agama dan dunia. Dalam bidang agama , sombong selalunya ialah dalam bidang ilmu dan ibadat. Manakala dalam bidang dunia ialah keturunan, kecantikan,kekayaan, kekuatan dan kerana banyak pengikut. Maka menghapuskan sifat sombong adalah fardu ain. Imam ghazali menganjurkan dua cara: 1) mencabut pohon kesombongan dalam hati dengan akar umbinya sekali 2) menolak sebab-sebab sombong daripada hati seseorang.
Manusia bermula dengan mati sebelum hidup, lemah sebelum kuat, bodoh sebelum berilmu, sesat sebelum mendapat petunjuk, miskin sebelum kaya dan bermula sebagai yang tidak berkuasa sebelum berdaya. SIAPAKAH YANG MENGURNIAKAN NIKMAT SEMUA INI KEPADA MANUSIA? DISINILAH JAWAPAN KEPADA MENGENAL ALLAH . RENUNGLAH HAKIKAT KEJADIAN DIRI KITA, MAKA WAJARKAH KITA BERLAKU SOMBONG………………..

Tuesday, 4 May 2010

Sembilan pembaziran tanpa disedari


IBNU Qayyim al-Jauziyah, ulama dan tokoh gerakan dakwah Islamiah ialah murid ulama terbilang, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah. Beliau mempunyai banyak karya ilmiah yang menjadi panduan dalam gerakan dakwah Islam.

Ibu Qayyim dilahirkan pada tahun 691 Hijrah (1292 Masihi) dan meninggal dunia pada 751 Hijrah (1350 Masihi)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada sembilan pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu :-

Ilmu pengetahuan. Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

Amalan. Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

Kekayaan. Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.

Hati. Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

Tubuh badan. Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

Cinta. Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

Masa. Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

Akal. Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

Zikir. Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam Madarij al-Salikin, waktu tidur yang lebih baik adalah pada pertengahan malam yang awal iaitu kira-kira jam 10 malam.

Waktu yang tidak seharusnya kita tidur adalah selepas waktu Subuh sehingga terbit fajar, waktu selepas Asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu Maghrib ke Isyak.

Beliau berkata, tidur pada waktu itu tidak memberi manfaat kepada tubuh badan, malah boleh mendatangkan kemudaratan dan makruh hukumnya.